Lelaki Ditahan Bersama 1 Kilogram Syabu
- nabalunews
- Apr 30
- 1 min read

30 April 2025
TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di kawasan jeti Batu 3½, Jalan Apas, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki warga asing berusia 45 tahun terbabit berjaya ditahan bersama 1,022.11 gram dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Katanya, suspek ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan sambil memegang kotak.
“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, suspek cuba melarikan sebaik menyedari kehadiran polis namun berjaya ditahan.
"Pemeriksaan ke atas kotak itu membawa kepada penemuan satu peket plastik warna putih yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 1,022.11 gram yang dianggarkan bernilai RM35,500,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan Amphetamine.
Katanya, polis kini giat menjalankan risikan bagi mengesan individu lain yang mungkin terbabit dalam sindiket pengedaran dadah berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek akan direman bermula hari ini.
"Polis turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah, serta akan terus memperhebatkan operasi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini," katanya.


















Comments