- nabalunews
Lelaki gagal larikan telefon bimbit selepas dikejar polis dan orang awam
27 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Seorang lelaki warga asing, 39, gagal melarikan sebuah telefon bimbit selepas dikejar sekumpulan orang awam dan polis dalam insiden di kawasan Fajar, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Jasmin Hussin dalam kenyataan media hari ini, berkata, suspek berjaya ditangkap sekitar jam 10.45 malam dalam insiden tersebut.
Menurutnya, suspek sebelum itu sedang melarikan diri ketika dikejar sekumpulan orang awam, termasuk mangsa curi telefon bimbit berkenaan.
"Menyedari kejadian itu, sepasukan anggota Polis Strike Team, Balai Polis Tawau yang menjalankan tugas rondaan jenayah kemudiannya turut mengejar suspek sehingga berjaya ditahan," katanya.
Bagaimanapun ketika tangkapan dibuat, katanya, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif serta enggan memberikan kerjasama.
Jasmin berkata, pemeriksaan lanjut ke atas beg yang dipakai suspek menemukan tiga paket plastik berlainan saiz, dipercayai dadah jenis Syabu dianggarkan seberat 16.04 gram.
Katanya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada di mana juga berada bagi mengelakkan diri menjadi mangsa jenayah.
Comments