Lelaki kurang siuman maut dilanggar kereta
nabalunews

23 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Seorang lelaki disyaki kurang siuman maut selepas dilanggar kereta jenis Proton Saga ketika cuba melintas jalan dalam kemalangan di Batu 9, Jalan Apas sekitar jam 10 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Katanya, siasatan awal di lokasi mendapati nahas berlaku semasa pemandu kereta, 28, sedang dalam perjalanan ke Tawau dari Sandakan.
"Apabila sampai di Batu 9 dan sedang menuruni bukit di jalan berselekoh yang agak gelap, tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas dari arah bahu jalan sebelah kiri.
"Ini menyebabkan pemandu kereta tersebut tidak dapat melihat dengan jelas dan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dan hasil siasatan lanjut mendapati pejalan kaki itu disyaki seorang gelandangan dan kurang siuman.
Sehubungan itu, Jasmin meminta orang ramai atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan si mati supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, polis masih meneruskan siasatan kes di bawah 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
header.all-comments