- Wartawan Nabalu News
Lelaki mencuri tudung RM600 ditangkap polis
8 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang disyaki mencuri tudung di sebuah premis perniagaan di bandar ini, sehingga menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM600.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata suspek yang memiliki empat rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan jenayah, berada dalam senarai orang
dikehendaki polis.
Katanya, lelaki berkenaan ditangkap sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah selepas menyerbu sebuah rumah di Batu 2, Jalan Apas, pagi tadi hasil maklumat daripada orang awam.
"Polis turut merampas pakaian yang dipercayai digunakan suspek semasa melakukan jenayah dalam kejadian pada 5 Ogos lalu," katanya.
Menurutnya, dalam kejadian itu, polis menerima laporan dibuat seorang usahawan kedai tudung selepas mendapati tudung yang digantung untuk dijual di kedainya berkurangan.
Katanya, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudiannya mendapati seorang lelaki tidak dikenali memgambil beberapa helai tudung di rak gantungan sebanyak dua kali sebelum beredar.
Akibat kejadian itu, katanya, mangsa mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM600.
Jasmin berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan pihaknya masih berusaha mendapatkan semula barangan yang dicuri suspek dalam kes ini.
Commentaires