Lelaki miliki petrol tanpa lesen didenda RM20,000
- nabalunews
- Aug 21, 2024
- 2 min read

21 Ogos 2024
TAWAU: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini atas kesalahan memiliki barang kawalan minyak petrol tanpa lesen yang cuba diseludup ke negara jiran.
Abdullah Asadan, 26 dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Ahmad Faizadh Yahaya selepas dia mengaku bersalah dalam prosiding hari ini.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu, dia boleh dipenjara enam bulan.
Menurut fakta kes, ketika tangkapan dibuat, tertuduh didapati memiliki barang kawalan iaitu sebanyak 2,080 liter minyak petrol di dalam 70 jerikin.
Bahan api itu berada di dalam sebuah bot kayu yang disyaki cuba membawa barang kawalan terbabit menuju ke Sitangkai, Filipina.
Tertuduh didapati tidak memiliki sebarang lesen atau kebenaran berhubung keberadaan minyak petrol yang dimilikinya.
Tangkapan kes itu dilakukan di kawasan perairan Singgah Mata, Pulau Bum Bum, Semporna oleh sepasukan anggota polis.
Petrol yang dirampas diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Di bawah akta itu, mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
Pendakwaan dilakukan Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Semporna, Dr Jong Jee Leong.
Sementara itu, Dr Jong berkata, KPDN Cawangan Semporna tidak akan berkompromi dengan aktiviti melibatkan barang kawalan dan akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di daerah itu.
Comments