Lelaki Pecah Masuk Empat Masjid Ditahan
- nabalunews
- Apr 29
- 1 min read

29 April 2025
PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan, semalam, selepas dipercayai terlibat dalam empat kes pecah masuk masjid.
Suspek berusia 25 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Tuaran oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek dipercayai terlibat dalam empat kes pecah rumah ibadat di sekitar Putatan dengan anggaran kerugian berjumlah RM2,250.

Katanya, sebaik ditahan, polis turut merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di daerah Kota Kinabalu.
“Motosikal berkenaan dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan aktiviti jenayahnya.
“Pemeriksaan lanjut di kediaman suspek pula membawa kepada penemuan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk jenayah serta sejumlah wang tunai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil saringan ujian air kencing tueut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan seksyen 380 akta sama atas kesalahan pecah rumah serta mencuri dalam bangunan.
“Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Menurutnya, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan polis dalam membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Polis Penampang menyeru orang ramai supaya terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah,” katanya.
Commentaires