LELAKI RENTUNG DALAM KEBAKARAN DI MENUMBOK
14 JAN 2021
KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan rentung di rumah miliknya dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Melikai, Menumbok, awal pagi tadi.
Ketua Zon Bomba Beaufort Anddre Andrew berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa Mohd Ikmal Abdullah, 50, yang tinggal bersama tiga ahli keluarganya dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap di dalam rumah berkenaan.
"Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pukul 6.12 pagi. Sepasukan sembilan anggota bomba kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat dua rumah berkeluasan 353 meter persegi sedang terbakar dan musnah hampir 100 peratus. Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata sebaik api berjaya dipadamkan sepenuhnya, pemeriksaan menemukan mayat mangsa dalam keadaan rentung di bahagian dapur rumah.
"Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya. – Bernama
Comments