top of page
nabalunews

Lelaki seleweng minyak masak bersubsidi didenda RM20,000

29 Oktober 2024


SANDAKAN: Seorang lelaki warga tempatan dijatuhkan hukuman denda RM20,000 atau penjara 6 bulan jika gagal bayar denda oleh Mahkamah Sesyen Sandakan hari ini atas kesalahan menyeleweng dan tidak mempunyai lesen untuk memiliki 4,400kg minyak masak bersubsidi tahun lalu.


Hakim, Zaini Fishir @ Fisal, menjatuhkan hukuman selepas lelaki itu mengaku melakukan kesalahan itu pada 22 Mei 2023, kira-kira jam 5.53 petang di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 9, Jalan Labuk, Sandakan.


Perbuatan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan menjalankan pemeriksaan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan di sekitar kawasan Sandakan.


Semasa pemeriksaan di rumah itu, pihak KPDN telah menyita minyak masak serta 6 unit tangki bersama 2 unit enjin pam, 1 unit hos dan minyak masak bersubsidi dalam 4,400 paket plastik seberat 1 kilogram setiap paket.


Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki di premis itu gagal mengemukakan sebarang lesen barang kawalan dan dokumen-dokumen  berkaitan barang kawalan yang berada dalam milikannya, sekaligus telah melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.


Ia merupakan suatu kesalahan di bawah peraturan 21 peraturan yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.


Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000.00 atau penjara untuk jangka masa tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.


Lelaki berkenaan membayar denda RM20,000 itu sejurus prosiding mahkamah hari ini.


Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa KPDN, Othman Said.

Comments


bottom of page