top of page
nabalunews

Lelaki tempatan cuba seludup lapan PATI ditahan

15 Disember 2024 


TAWAU: Cubaan seorang lelaki warga emas membawa lapan individu termasuk dua kanak-kanak disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Tawau dari Sipitang, gagal selepas mereka ditahan dalam sekatan jalan raya Road Check Point (RCP), Pos Kalabakan, pada Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kesemua penumpang itu dikenakan bayaran RM150 untuk penumpang dewasa bagi tujuan ke daerah ini.


Bagaimanapun, mereka ditahan dalam operasi oleh sepasukan pegawai dan anggota pasukan dari Kompeni C, Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau pada jam 11.15 pagi, semasa sekatan jalan raya tersebut.


Menurutnya, pasukan berkenaan terserempak dengan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda yang mencurigakan ketika menjalankan tugas ‘Snap check’ di Jalan Batu 2, Kampung Murut, Kalabakan.


Katanya, hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati pemandu kenderaan tersebut adalah warga tempatan, 70-an namun lapan penumpangnya yang berusia di antara dua hingga 50 tahun, gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.


"Kesemua individu berkenaan ditahan lanjut dan kenderaan turut dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,"katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.


Menurutnya lagi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Mengulas lanjut, Jasmin berkata, kes itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan polis bagi mengekang aktiviti penyeludupan manusia dan PATI di negara ini.


Tangkapan tersebut, katanya, menunjukkan komitmen polis, terutamanya PGA dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara, khususnya di kawasan sempadan yang sering menjadi laluan utama penyeludupan Pati.


Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk terus memberi kerjasama dalam memerangi jenayah penyeludupan manusia dan PATI dengan melaporkan sebarang maklumat yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Comments


bottom of page