Lelaki tempatan disyaki pengedar dadah tumpas
- nabalunews
- Aug 10, 2024
- 1 min read

10 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Seorang lelaki tempatan disyaki pengedar dadah berjaya ditangkap dalam operasi di bandar ini kira-kira jam 8.15 malam Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditangkap bersama 930 gram dadah yang dianggarkan bernilai RM63,190.
Katanya, lelaki itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah; Bahagian Siasatan Jenayah (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan BSJN, IPD Kunak.
Menurutnya, ketika di lokasi serbuan, sebuah kenderaan dilihat berhenti di tempat letak kereta dan seorang lelaki keluar dari kenderaan tersebut dengan memakai beg silang.
"Suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan di dalam beg silangnya mendapati satu beg plastik berwarna hitam mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 930 gram," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Jasmin berkata, pihaknya masih menyiasat bagi memburu dalang kes itu.
Katanya suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)
1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Sementara itu, polis turut menahan seorang lelaki disyaki 'transporter' bersama 13.46 gram Syabu di hadapan sebuah pondok hentian bas, Batu 15 Jalan Apas, sekitar jam 3.30 petang, semalam.
Katanya, suspek warga asing berumur 52 tahun itu menyerahkan tiga paket plastik lutsinar pelbagai saiz dipercayai dadah dianggarkan bernilai RM1, 100.
Tambahnya, lelaki itu ditahan kerana berkelakuan mencurigakan semasa rondaan cegah jenayah oleh sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.















Comments