top of page

Lelaki Terbabit Kes Tular Isi Minyak Tanpa Bayar Ditahan

  • nabalunews
  • Jun 8
  • 1 min read

8 Jun 2025


TAWAU: Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan selepas dikesan terlibat dalam kes penipuan tular berkaitan pengisian minyak tanpa bayaran.


Suspek berjaya ditahan sepasukan anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan kira-kira jam 1.45 pagi sebaik pasukan MPV menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, berdasarkan maklumat, orang awam mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah premis dobi di kawasan bandar.


“Sebaik menerima maklumat, anggota MPV segera ke lokasi dan menemui sebuah kereta jenis Toyota di lokasi yang dimaksudkan.


“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, hasil semakan lanjut mendapati kenderaan yang digunakan suspek dikaitkan dengan satu laporan polis berkaitan kes penipuan yang masih dalam siasatan.


Suspek kemudiannya ditahan, manakala kenderaan terbabit dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.


“Siasatan mendapati suspek terlibat dalam beberapa kejadian mengisi minyak tanpa membuat bayaran di beberapa stesen minyak sekitar bandar Tawau sebelum melarikan diri.


Tindakan itu bukan saja melanggar undang-undang, malah menimbulkan kemarahan pengusaha stesen minyak yang terkesan,” katanya.


Jasmin berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang pengambilan dadah.


“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan,”katanya.


Sehubungan itu, Jasmin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat.


Katanya, orang ramai juga disarankan supaya terus membero kerjasama berterusan dalam usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page