top of page

Lelaki tetak pesaing ejen pelancongan ditahan polis

  • nabalunews
  • Feb 28
  • 1 min read


28 Februari 2025

PAPAR: Akibat persaingan perniagaan, seorang ejen pelancongan ditahan selepas menetak kenalannya dalam kejadian di Jeti Sungai Kampung Kawang, Beringgis, di sini, Rabu lalu.


Suspek berusia 33 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 4 petang, semalam, oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar yang dibantu pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu.


Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, hasil siasatan awal, punca kejadian dipercayai disebabkan perselisihan faham antara mangsa dan suspek.


Katanya, kedua-dua mereka kenal sesama mereka dan bekerja sebagai ejen pelancongan di syarikat berlainan.


“Pertikaian antara mereka bermula apabila syarikat suspek menawarkan pakej harga yang lebih rendah berbanding syarikat mangsa kepada pelancong korea.


“Ianya secara tidak langsung telah menyebabkan kebanyakan pelancong dari Korea beralih daripada syarikat mangsa kepada syarikat suspek.


“Mangsa yang berasa tidak puashati kemudiannya menegur suspek yang membawa kepada pertengkaran antara mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Kamaruddin berkata, suspek secara tiba-tiba mengambil sebilah sabit dari keretanya dan terus melibas ke arah mangsa.


Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa cedera di bahagian telinga kiri dan tangan kiri manakala suspek pula terus melarikan diri.


“Mangsa yang berada dalam keadaan berlumuran darah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk menerima rawatan.


“Setakat ini mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih mendapat rawatan di hospital,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page