Lelaki tunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol dipenjara dan denda
- nabalunews
- Aug 14, 2024
- 1 min read

14 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Seorang penunggang motosikal dijatuhkan hukuman penjara empat hari dan didenda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol Sabtu lalu.
Mohd Rizwan Tasman, 29, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas mengaku salah melakukan perbuatan itu di Jalan Apas kira-kira 11.50 malam pada 10 Ogos lalu.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung selama dua tahun.
Berdasarkan fakta kes, ujian saringan pernafasan yang dilakukan terhadap tertuduh mendapati kandungan alkohol dalam darahnya melebihi had dibenarkan iaitu 50 miligram (mg) etil dalam 100 mililiter darah.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun dan denda sehingga RM30, 000 jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, tertuduh turut didenda RM500 kerana didapati gagal mempamerkan nombor pendaftaran motosikal yang ditunggangnya dalam kejadian tersebut.
Pegawai Pendakwa Trafik IPD Tawau, ASP Joan Lee, menjalankan pendakwaan kes.















Comments