Lesen hanya dikenakan kepada pengendali platform media sosial, bukan pengguna – Fahmi

1 Ogos 2024
PUTRAJAYA : Lesen mengawal selia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet hanya dikenakan kepada pengendali platform media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia tidak dikenakan kepada individu atau golongan pempengaruh.
“Proses pelesenan ini akan bermula hari ini bagi platform media sosial. Jadi ada beberapa pihak yang memberi pandangan yang sebenarnya jauh lari daripada realiti proses perlesenan tersebut.
“Saya ingin jelaskan bahawa pelesenan ini hanya terpakai kepada platform-platform media sosial bukan kepada pengguna ataupun pempengaruh. Individu tidak perlu untuk mendapatkan lesen. Ia hanya terpakai kepada platform tersebut perkhidmatan tersebut,” katanya dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Tambahnya, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menerbitkan soalan lazim (FAQ) berkaitan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu untuk menjelaskan perkara berkenaan.
“Sebagai contoh adakah ada mana-mana negara lain yang mengamalkan sistem pelesenan seperti ini? Apakah tindakan yang boleh diambil oleh mana-mana pengguna atau platform sekiranya sesuatu arahan ataupun keputusan yang telah dibuat ingin mereka rujuk ataupun buat rayuan,” katanya.
Sementara itu Fahmi berkata, pemegang lesen yang tidak mempunyai lesen tersebut menjelang 1 Januari 2025 boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).
Sabit kesalahan, penyedia perkhidmatan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 ataupun lima tahun penjara ataupun kedua-duanya sekali.
“Tindakan denda boleh dikenakan sebanyak RM1,000 untuk setiap hari atau sebahagian daripada hari tersebut selagi mana kesalahan Itu berterusan.
“Jadi ini adalah satu contoh penggunaan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menguruskan sebarang pelanggaran kepada pemegang lesen dan juga kepada mereka yang memberi perkhidmatan tanpa lesen,” katanya.
Comments