top of page
  • Wartawan Nabalu News

LIMA KLUSTER BAHARU DI KOTA KINABALU, KUALA PENYU, LIBATKAN KRU KAPAL DAN AKTIVITI SOSIAL


Gambar Hiasan

8 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Lima kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini iaitu empat di Kota Kinabalu dan satu di Kuala Penyu melibatkan tempat kerja iaitu kru kapal dan aktiviti sosial di pusat hiburan.


Kluster itu dikenali sebagai Kluster Ocean Blue - Kota Kinabalu, Kluster Segara - Kota Kinabalu, Kluster Coral - Kota Kinabalu, Kluster Tanjung Aru Baru - Kota Kinabalu dan Kluster Kg Bundu - Kuala Penyu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Ocean Blue merupakan kluster jenis tempat kerja melibatkan kru kapal di Kota Kinabalu.


“Kluster ini dikesan semasa saringan prosedur terhadap 185 kru kapal yang baru tiba dari Perak pada 06 Jun lalu.


“Kes indeks adalah kru kapal, lelaki, 29, mula bergejala pada 03 Jun lalu kemudian didapati positif sejurus tiba di pangkalan dan telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut.


“Pada 07 Jun 2021, keputusan saringan seumpama menunjukkan 98 lagi kru kapal dikesan positif Covid-19, manakala 86 kru masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, berdasarkan siasatan awal, semua kru disahkan negatif dalam saringan pada 28 Mei lalu di Perak sebelum memulakan pelayaran ke Sabah pada 01 Mei lalu.


Katanya, aktiviti mengenal pasti punca jangkitan masih dijalankan.


Kluster kedua ialah Kluster Segara - Kota Kinabalu melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja dalam kalangan kakitangan di Pelantar Kinabalu Non Associated Gas (KNNAG).


Masidi berkata, kes indeks bagi kluster ini merupakan lelaki, 40, juruteknik elektrik di pelantar berkenaan disahkan positif RTK- Ag hasil saringan bergejala di Hospital KPJ pada 02 Jun lalu dan telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut.


“Daripada 141 sampel yang diambil, 10 kes dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes, sementara 110 sampel negatif dan 20 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan,” katanya.


Kluster Coral - Kota Kinabalu pula melibatkan penularan jangkitan yang berlaku di tempat kerja iaitu Pelantar Samarang.


Masidi berkata, kes indeks merupakan tukang masak lelaki, 34, dikesan positif namun tidak mempunyai sebarang gejala dalam saringan prosedur sign off kapal pada 02 Jun 2021.


“Saringan kontak rapat segera dijalankan dengan mengambil 283 sampel daripada keseluruhan kru pelantar. Hasil ujian saringan mengesan lapan lagi kes positif, manakala 274 sampel didapati negatif,” katanya.


Kluster Tanjung Aru Baru - Kota Kinabalu melibatkan komuniti di Kg Tanjung Aru Baru.


Masidi berkata, pertambahan kes dalam kluster ini adalah hasil saringan kontak rapat dan saringan bersasar setelah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 04 Jun lalu.


“Kes indeks adalah warganegara Filipina, 44, yang disahkan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Putatan pada 25 Mei lalu dan telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut.


“Daripada 213 sampel keseluruhan yang telah diambil, 30 kes (Kota Kinabalu sahaja) dikesan positif termasuk 20 kes baharu pada hari ini, sementara 83 sampel lagi didapati negatif dan 100 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan,” katanya.


Masidi berkata, kluster kelima ialah Kluster Kg Bundu - Kuala Penyu melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti di beberapa lokaliti iaitu Kg Bundu Batu 4, Kg Bundu Batu 3, Kg Tenambak, Kg Sg Labuan, Pekan Kuala Penyu dan Kg Kitang.


Beliau berkata, kes indeks merupakan lelaki, 45, dikesan positif pada 24 Mei 2021 hasil saringan kontak kepada anaknya yang merupakan saringan bergejala.


“Bagaimanapun, kes indeks bergejala lebih awal berbanding anaknya. Ujian saringan RTK-Ag kes indeks disahkan positif dengan grading 100 peratus pada 24 Mei 2021 dan RT-PCR juga positif dengan CtValue - 29.82 (lebih tinggi berbanding kontak yang disaring pada hari yang sama) pada 26 Mei 2021.


“Pengesanan kontak mendapati 38 kes lagi positif Covid-19 dalam kalangan rakan sosial dan ahli keluarga.


“Setakat hari ini, jumlah kumulatif ialah 39 kes termasuk dua kes baharu. Berdasarkan maklumat awal, penularan kluster ini disumbang oleh aktiviti sosial di pusat hiburan yang kemudian menjangkiti ahli keluarga,” katanya.


Masidi berkata, aktiviti kawalan dan mengenal pasti punca jangkitan masih dijalankan.



Comentários


bottom of page