- nabalunews
Liwat remaja: Tukang gunting rambut dipenjara 9 tahun dan disebat
5 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Mahkamah Sesyen Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan ke atas seorang tukang gunting rambut, selepas dia mengaku salah meliwat seorang remaja lelaki, 13, yang juga pelanggan di kedai guntingnya.
Meruan Daud, 49, seorang warga tempatan membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa di kedai gunting miliknya di Kg Mentadak Baru, Sungai Tamang, Pulau Sebatik kira-kira 12 tengah hari pada 11 Mac 2024.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap (2 April 2024) dan dikehendaki menjalani kaunseling pemulihan sepanjang pemenjaraan.
Tertuduh juga diletakkan di bawah pengawasan polis selama tempoh dua tahun selepas selesai hukuman.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dirujuk daripada Klinik Kesihatan Tawau ke Jabatan Kecemasan Dan Trauma, Hospital Tawau selepas hasil keputusan ujian HIV rapid test di klinik tersebut mendapati mangsa positif HIV.
Semasa keterangan diambil, mangsa mengakui melakukan hubungan sejenis/songsang (liwat) dengan tertuduh sejak dia di Tingkatan Satu lagi dan kejadian berlaku di kedai gunting rambut di Kampung Mentadak Baru.
Siasatan lanjut mendapati, mangsa mengenali tertuduh sejak 2011 lagi kerana tinggal di kampung yang sama dan tertuduh sudah banyak kali melakukan perbuatan itu dengan yang terakhir pada 11 Mac 2024 jam 12 tengah hari di kedai gunting rambut milik lelaki tersebut.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.
Comments