Longgokan tayar lama terbakar, operasi memadam kebakaran masih berjalan

12 September 2024
SANDAKAN: Kebakaran longgokan tayar terpakai berlaku di sebuah kilang tidak beroperasi di Batu 11, Jalan Seguntur, Sandakan, hari ini.
Operasi memadam kebakaran berkenaan sedang digiat dilakukan oleh sepasukan 19 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.12 tengahari tadi.
Kebakaran dilaporkan berlaku di bekas Kilang Sandakan Martime Sdn Bhd iaitu bekas kilang membuat bot.
"Kebakaran melibatkan longgokan tayar lama seluas 2 ekar dan telah terbakar seluas 0.5 ekar.
"Pasukan Bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan 2 aliran 500 kaki, 4 pancutan dan sumber air dari jentera dan sumber air terbuka (kolam ikan) menggunakan 2 unit foam.
"Operasi pemadaman masih dijalankan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Comments