- Wartawan Nabalu News
LPP perlu kolaborasi dengan agensi kerajaan lain untuk maju
26 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
NABAWAN: Lembaga Pertubuhan Peladang ( LPP ) Sabah perlu berkolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan dengan bidang pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin berkata ini bagi mempelbagaikan usaha untuk meningkatkan pendapatan sara hidup setiap ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) khususnya di daerah Nabawan, yang boleh meningkatkan taraf soiso-ekonomi penduduk.
Menurut Ghani, beliau memberi cadangan kepada pihak Pertubuhan Peladang kawasan melalui LPP untuk berkerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain yang ada kaitan dengan sektor pertanian bagi memastikan segala bantuan yang disalurkan oleh kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya kepada golongan sasar.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang kali ke-18 tahun 2024 di Pejabat PPK Nabawan di sini, semalam.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berharap, LPP Sabah dan PPK Nabawan dapat lebih aktif menganjurkan program-program yang lebih bersifat praktikal untuk memastikan masyarakat mempunyai ilmu pengetahuan dalam mengembangkan aktiviti pertanian mereka yang boleh meningkatkan hasil pertanian yang diusahakan.
"Selain itu sebagai agensi dalam kerajaan yang berperanan dalam bidang pertanian, pihak PPK Nabawan juga perlu melihat trend pada masa kini mengenai pertanian moden yang boleh membawa banyak manfaat kepada rakyat" jelasnya.
Terdahulu dalam ucapannya Ghani berkata, sememangnya, pertanian adalah cara terbaik untuk masyarakat luar bandar meningkatkan taraf hidup melalui pelbagai aktiviti pertanian.
Beliau berkata, pihak Pertubuhan Peladang Kawasan Nabawan juga mempunyai peranan untuk memberi banyak peluang kepada masyarakat di daerah ini berkecimpung dan
mengembangkan aktiviti pertanian yang mereka usahakan.
"Malah kita juga seharusnya lebih aktif menganjurkan program-program yang lebih bersifat praktikal untuk memastikan masyarakat di sini mempunyai ilmu pengetahuan dalam mengembangkan aktiviti pertanian mereka yang boleh
meningkatkan hasil pertanian yang diusahakan" tambahnya.
Katanya, golongan petani janganlah bergantung sepenuhnya dengan aktiviti pertanian seperti getah dan kelapa sawit semata-mata kerana masih banyak potensi pertanian yang lain boleh diterokai oleh masyarakat luar bandar.
Comments