M. Nasir rai ulang tahun kelahiran PM di konsert Cipta
11 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: "Terima kasih atas kesudian meraikan ulang tahun kelahiran saya."
Demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir pada Konsert Datuk M N45IR Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Beliau turut meluahkan rasa kagum dengan alunan merdu suara penghibur tersohor itu
"Memenuhi jemputan ke Axiata Arena malam tadi untuk menghadiri Konsert Cipta bagi menikmati suara emas dan maha karya seniman ulung Datuk M Nasir.
"Kagum dengan kehebatan suara beliau yang begitu hebat melantunkan lagu-lagu ciptaannya. Saya terkesan tatkala beliau menyampaikan lagu 'tribute' buat perjuangan rakyat Palestin," katanya.
Terdahulu, konsert bersempena 45 tahun pembabitan M Nasir dalam dunia seni tanah air itu berjaya memukau 8,000 penonton.
Selain Anwar, konsert berdurasi lebih dua jam itu juga dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Anwar yang sebaik mendengar lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ dendangan sifu dalam industri hiburan itu turut sama bangun dari tempat duduknya manakala ribuan pengunjung turut sama ‘sporting’ dan berdiri menggamatkan seluruh stadium.
Tampil segak berbusana Melayu bersesuaian dengan tema konsert itu, Pendekar dan Tradisional, M. Nasir mendendangkan lagu berkenaan usai selesai segmen pertama dan penukaran busana.
“Konsert hari ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hari ini merupakan hari ulang tahun beliau dan marilah kita sama-sama menyanyikan lagu buat beliau,” katanya.
Anwar yang hadir pada konsert itu dengan berbusana pahlawan berona coklat serta lengkap bertanjak menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-77 semalam.
Sebagai tanda keberkatan hari ulang tahun Perdana Menteri, pulut kuning turut sama diberikan kepada Anwar usai lagu khas tersebut selesai berkumandang dan disusuli dengan tepukan gemuruh ribuan pengunjung.
Selepas upacara memotong pulut kuning itu, M. Nasir turut mendendangkan sebuah lagu yang didedikasikan khas buat bekas Ketua Biro Politik Hamas As-Syahid Ismail Haniyeh yang terbunuh di Tehran pada 31 Julai lalu.
Konsert lebih tiga jam itu menyaksikan komposer legenda ini menterjemahkan perjalananan seninya selama lebih empat dekad menerusi nyanyian, lakonan dan seni lukis.
Lebih 30 buah lagu didendangkan penyanyi berusia 66 tahun itu sempena meraikan 45 tahun pembabitannya dalam industri seni.
Antaranya, Apokalips, Tanya Sama Itu Hud Hud, Mentera Semerah Padi, Ada, Sentuhan Listrikmu, Bercanda di Pasiran Pantai, Cinta Kristal, Cinta Sakti dan Senja Nan Merah.
Comments