top of page
  • Wartawan Nabalu News

Madius cadang kerajaan bina telekomunikasi luar bandar Sabah guna teknologi satelit



2 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau mencadangkan supaya RM500 juta daripada RM4.09 bilion peruntukan membina menara di seluruh negara diberikan untuk membina telekomunikasi luar bandar di Sabah dengan menggunakan teknologi satelit.


Beliau berkata, kerajaan perlu bekerjasama dengan pihak swasta seperti MASEAT untuk melaksanakannya bagi mempercepat dan memperluaskan sebaran jalur lebar.


“Sabah memerlukan beribu-ribu menara telekomunikasi sebab setakat ini baru ada 400 menara, dan dengan peruntukan sebanyak RM4.09b yang diumumkan untuk membina 636 menara di seluruh negara dengan kos sebanyak RM6.4 juta satu menara, Tuaran bertanya sampai bilakah kita menunggu agar pendigitalan itu dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya?



“Adakah kerajaan masih meneruskan strategi pembinaan menara sahaja? Apakah kerajaan tidak terfikir untuk menyelesaikan masalah internet connectivity secara tuntas dengan kadar segera?


“Apakah kerajaan tidak mahu mengambil sedikit daripada RM4.09 Billion tersebut untuk melaksanakan telekomunikasi luar bandar dengan menggunakan teknologi satelit?,” katanya ketika ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.


Madius berkata, Sabah terbelakang dalam banyak hal di Malaysia termasuk dari segi penetrasi internet, pembasmian kemiskinan, pembangunan jaringan pengangkutan dan sektor pembuatan.


“Antara kekangannya ialah peruntukan pembangunan termasuk Infrastruktur sangat terhad. Pembinaan lebuhraya Pan Borneo terbantut oleh peruntukan yang terhad.


“Malah pelancaran demi pelancaran Pan Borneo sudah menjadi bahan gurauan. Sabah memerlukan perhatian yang bermaruah, telus dan berintegriti daripada kerajaan.


“Di Kawasan Parlimen Tuaran Mantan Perdana Menteri pernah mengumumkan projek Naik Taraf Jalan luar bandar Togop- Jalan Hamad-Kitapol seterusnya Jalan Tibabar-Poturidong dengan kos sebanyak RM100 Juta.


“Tuaran minta agar projek ini diteruskan sebab ia melibatkan road access utama ke beberapa buah sekolah rendah,” katanya.


Dari segi pembasmian kemiskinan pula madius berkata, senrai e-Kasih sebagai asas program pembasmian kemiskinan perlu dimurnikan dan peranan serta fungsi Focus Group juga perlu disusun semula.


“Ketika ini Focus Group berperanan mempertimbangankan kedudukan seseorang yang dicadangkan ataupun memohon masuk dalam senarai e-Kasih.


Masalahnya ialah pertimbangan Focus Group ini tidak menyeluruh walaupun mereka bermesyuarat dan turun padang namun ini hanya dibuat apabila ada yang mengisi borang rakyat termiskin untuk dipertimbangkan.


“Bagaimana pula dengan mereka yang tidak berpeluang untuk mengisi borang tersebut?,” katanya.

Comments


bottom of page