Madius kecam Azmin guna istilah ‘termasuk Sabah dan Sarawak’

12 Oktober 2021
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengecam kenyataan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali selepas menggunakan istilah ‘termasuk Sabah dan Sarawak’ dalam ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Rakyat, kemarin (11 Oktober).
Beliau berkata, sebutan ‘termasuk Sabah dan Sarawak’ itu berbangkit kerana pola pemikiran penulis melihat Malaysia merujuk kepada Semenanjung Malaysia sahaja.
“Baca betul-betul kenyataan Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini. Pernahkah kita tanya kenapa perlu disebut “termasuk Sabah dan Sarawak?” Bukankah kenyataan ini cerminan kepada pola pemikiran penulis dan pengucap?”
“Pada saya sebutan ‘termasuk Sabah dan Sarawak’ itu berbangkit kerana pola pemikiran penulis melihat Malaysia itu merujuk kepada Semenanjung Malaysia. Semenanjung Malaysia itu adalah Malaysia.
“Akhirnya Pembangunan Semenanjung Malaysia itu diambil sebagai Pembangunan Malaysia. Sebab itu Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak difikirkan setakat “termasuk” dalam Pelan Pembangunan atau bukan sebagai keutamaan,” katanya melalui perkongsian di Facebooknya.
Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, perlu disedari Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak dengan jumlah keluasan 60 peratus keseluruhan tanah Malaysia merupakan “Tanah Besar Malaysia” yang sebenar.
“Tetapi kenapa setakat ‘termasuk’ dalam perancangan pembangunan dan bukannya ‘Keutamaan’ ataupun ‘Rujukan Utama’ dalam perancangan pembangunan Malaysia,” tegasnya.
Perkongsian Ahli Parlimen Tuaran itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Bryan Midir dalam ruangan komen berkata: “ Kenapa nda (tidak) cakap seluruh negara saja kan. Kalau si bapa ada 10 anak terus dia bilang (kata), saya akan bagi hadiah semua anak-anak termasuk yang anak numbur 5 sama 9. Aik..maksdnya sebelum tu mungkin tidak dibagi? Jarang-jarang kena bagi?”.
Sementara itu, Conrad Wong berkata, ini menggambarkan bahawa Sabah dan Sarawak bukan sebahagian daripada Malaysia tetapi ‘tanah jajahan’.
“Bagi yang berfikiran rasional, ia sepatutnya ditulis dan disebut sebagai "memastikan pembangunan industri dipertingkatkan di Malaysia terutama di Wilayah Sabah dan Sarawak,” kata Conrad.
Julian Jim pula berkata: “Mungkin sudah tiba masanya kembalikan status negara Sabah DSP. Biar suara rakyat menyalak untuk menuntut hak Sabah”.
Seorang lagi netizen, Hardilius Sibun menyuarakan pandangan bahawa aspek Pendidikan telah menyebabkan perkara ini berlaku.
“Pelajar-pelajar di sekolah Sabah diajar mengenai siapa itu Malaysia dalam konteks Malaya, Sabah dan Sarawak, taaaapi (tetapi) percaya atau tdk (tidak), di Malaya pelajar-pelajar sekolah diajar mengenai siapa itu Malaysia dlm (dalam) konteks lain, dimana Malaysia itu Malaya; bukan Malaya, Sabah dan Sarawak.
“Sbb (sebab) itu jgn (jangan) hairan klu (kalau) kebanyakan statement news atau apa-apa juga statement jika penulis dia dari Malaya, bila bercakap pasal Malaysia, dia akan cakap seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
“Dan jgn (jangan) juga hairan kalau majoriti pelajar sekolah maupun penduduk Malaya tidak tahu bahawa Sabah & Sarawak itu adalah Malaysia,” katanya.
Terdahulu, istilah tersebut telah digunakan Azmin dalam ucapan penggulungan berkaitan kelestarian pembangunan kawasan perindustrian.
Katanya, bagi memastikan kelestarian pembangunan kawasan perindustrian termasuk di Sabah dan Sarawak, MIDA akan meneruskan inisiatif menaiktaraf dan memperbaiki infrastruktur asas kawasan perindustrian sedia ada.

Comments