Mahkamah Rayuan tetapkan 28 Julai dengar rayuan Peter Anthony

26 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony yang ingin membatalkan sabitan, hukuman penjara dan denda kerana memalsukan surat, ditangguhkan ke 28 Julai kerana rekod rayuan belum siap. Ini adalah kali kedua rayuan beliau ditunda.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof menetapkan tarikh baru itu selepas mendengar alasan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari yang mewakili pihak pendakwaan mengesahkan tarikh pengurusan kes itu.
Peter, 51, telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 26 Mei 2022 dan dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan. Beliau kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi tetapi gagal pada 18 April lepas.
Beliau didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan niat menipu. Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Peter, yang juga presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), telah membayar denda RM50,000 berkenaan.
Comments