top of page
  • Wartawan Nabalu News

Majlis pengebumian dan tempat kerja cetus dua kluster baharu di Sabah hari ini



24 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini berpunca dari majlis pengebumian di Kg.Nosoob Baru Penampang dan kluster tempat kerja di bangunan Rumah Persekutuan.


Kluster itu dikenali sebagai Kluster Nosoob Baru - Penampang dan Kluster Jalan Mat Salleh - Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Ranau.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Nosoob Baru - Penampang merupakan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti.


“Penularan disyaki berpunca daripada majlis pengebumian di Kg Nosoob Baru pada 10 Julai 2021 melibatkan keluarga dari Kg Nosoob Baru, Kg Pogunon dan Kg Terawi.


“Kes indeks adalah wanita, 28, yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan pra-rawatan pada 13 Julai 2021 dengan keputusan RTK-Ag grading 38%. Setakat hari ini, 17 kes positif termasuk satu kes baharu,” katanya dalam kenyataan medis, hari ini.


Masidi berkata, Kluster Jalan Mat Salleh - Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Ranau pula dikategorikan sebagai kluster tempat kerja iaitu bangunan Rumah Persekutuan, Jalan Mat Salleh yang terletak di dalam Mukim Sembulan.


“Malah, premis kerajaan ini juga menempatkan pejabat pentadbiran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Angkatan Pertahanan Awam Sabah.


“Kes indeks merupakan pegawai farmasi, lelaki, 26, disahkan positif ujian PCR dengan CT value 19.32 di Klinik Kesihatan Luyang pada 15 Julai 2021, selepas bergejala sejak 14 Julai 2021,” katanya.


Beliau berkata, setakat hari ini, 258 sampel telah diambil di daerah Kota Kinabalu dengan 18 kes positif dikesan termasuk sembilan kes baharu.


“Manakala, 54 sampel didapati negatif dan 186 sampel menunggu keputusan ujian saringan. Sementara itu, 24 kes pula didaftarkan di luar ibu negeri meliputi tiga kes di Putatan, tiga kes di Ranau, sembilan kes di Papar dan sembilan kes lagi di Penampang sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 42 kes termasuk sembilan kes baharu yang direkodkan pada hari ini,” katanya.

bottom of page