top of page
  • Wartawan Nabalu News

Majlis perkahwinan antara punca Kluster Karanaan Ranau


Gambar Hiasan

7 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Satu kluster baharu direkodkan di hari ini dikenali Kluster Karanaan Ranau dikategorikan sebagai kluster komuniti disyaki berpunca daripada penganjuran majlis perkahwinan dan dua majlis potong jambul di daerah itu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, majlis tersebut diadakan pada 21 Oktober dan 29 Oktober lalu dihadiri saudara mara dari luar daerah.


Katanya, kluster itu mula dikesan apabila seorang lelaki tempatan, 29, mula bergejala mendapati saringan kendiri (RTK AG) positif dan kemudian membuat saringan lanjutan di Pejabat Kesihatan Daerah Ranau (RT PCR) pada 29 Oktober 2021.


“Kes indeks yang juga Pembantu Awam di Pejabat JKR Daerah Ranau disahkan positif dengan CT Value RDRP - 16.69 pada 30 Oktober 2021 dan didaftarkan pada 31 Oktober 2021.


“Sementara itu, dua kes lagi (merupakan ibu serta datuk kepada kes indeks) telah didaftarkan pada 31 Oktober 2021 juga daripada Kg Karanaan, dikesan melalui saringan kemasukan ke Hospital Ranau pada 30 Oktober 2021.


“Aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 49 kontak sosial di Kg Karanaan turut positif Covid-19. Siasatan lanjut mendapati mereka adalah golongan yang menghadiri majlis-majlis tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Masidi berkata, penularan virus itu menjangkiti 52 penduduk kampung setakat ini.


“Kluster baharu di Kg Karanaan adalah satu peringatan penting, tepat pada masanya betapa perlunya semua kita mematuhi SOP sepanjang masa.


“Ini lebih-lebih lagi Sabah akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara mulai esok (8 November) dan pelbagai sekatan keatas majlis-majlis sosial dan aktiviti-aktiviti ekonomi akan dilonggarkan.


“Kesannya ialah risiko jangkitan virus di tempat-tempat awam dan acara-acara sosial akan semakin tinggi,” katanya.


Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat negeri ini supaya tidak lalai mematuhi semua SOP yang berkuatkuasa.


“Kelonggaran ini meletakkan tanggungjawab “frontliners” keatas bahu rakyat sendiri untuk mengekang penulan virus Covid-19,” katanya.


bottom of page