MAJLIS PERTUNANGAN, RUMAH IBADAT ANTARA PUNCA TIGA KLUSTER BAHARU DI TAWAU, NABAWAN, SIPITANG
- Wartawan Nabalu News
- Jun 12, 2021
- 2 min read

12 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Tiga kluster baharu direkodkan hari ini di Sabah iaitu Kluster Ambar Park Tawau, Kluster Indah Nabawan dan Kluster Kg Baru Sipitang berkaitan majlis pertunangan dan menghadiri rumah ibadat
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Ambar Park Tawau direkodkan di Mukim Sri Tanjung melalui saringan Brought In Dead (BID) terhadap kluster indeks iaitu warganegara, lelaki, 71, yang disahkan positif ujian RTK-Ag 100% pada 1 Jun lalu.
Beliau berkata, susulan kes itu, 45 kontak rapat telah disaring dan mengesan 15 lagi kes positif Covid-19 yang turut melibatkan kes jangkitan kontak keluarga generasi kedua, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 16 kes.
“Manakala, 28 kontak didapati negatif dan seorang kontak masih menunggu keputusan ujian.
“Berdasarkan maklumat, dianggarkan lebih 50 ahli keluarga dan kontak sosial telah menziarahi kes indeks untuk majlis doa selamat di rumah kes indeks, di Kg Kadazan, Ambar Park.
“Pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, kluster kedua ialah Kluster Indah Nabawan berkaitan majlis pertunangan di Kampung Indah, Nabawan pada 20 Mei lalu, malah penularan wabak Covid-19 dalam kluster ini melibatkan generasi kedua.
Beliau berkata, kes indeks merupakan warganegara, wanita, 34, yang dikesan positif melalui saringan pra rawatan pada 22 Mei lalu, namun tidak menunjukkan sebarang gejala.
“Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 124 kontak menemukan 20 lagi kes positif dan merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 21 kes. Daripada jumlah yang disaring, 100 individu didapati negatif saringan pertama dan tiga individu masih menunggu keputusan ujian saringan.
“Semua kes positif telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC Keningau. Manakala, kontak rapat pula telah diarahkan kuarantin.
“Berdasarkan penelitian, kes indeks berkemungkinan mendapat jangkitan daripada komuniti,” katanya.
Masidi berkata, kluster Kg Baru - Sipitang pula melibatkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Sindumin daerah Sipitang.
Katanya, kes indeks adalah warganegara, lelaki, 58, disahkan positif (RTK Antigen 100%) pada 26 Mei lalu, selepas dikesan sebagai kontak rapat kepada anak buahnya.
“Kes indeks juga mengalami simptom batuk, sakit kepala dan malaise sejak 23 Mei lalu serta mempunyai sejarah pergerakan ke luar daerah iaitu ke Keningau pada 16 Mei lalu.
“Hasil pengesanan dan saringan kontak yang melibatkan kaitan epidemiologi sama iaitu menghadiri rumah ibadat di SFI, 23 kes positif Covid-19 dicatat termasuk penambahan 13 kes baharu pada hari ini,” katanya.















Comments