Maklumat QR Code Aduan Masyarakat Tumpaskan Kegiatan Pengedaran Air Ketum
- nabalunews
- May 6
- 1 min read

6 Mei 2025
SANDAKAN: Keprihatinan masyarakat dalam menyalurkan maklumat melalui QR Code Aduan Masyarakat berjaya membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu lagi kegiatan pengedaran air ketum di daerah ini.
Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sandakan menyerbu sebuah lokasi di sebuah blok, di PPR Taman Harmoni, Batu 3, di sini.
Hasil serbuan, empat tempatan termasuk seorang lelaki warga asing berjaya ditahan bersama rampasan sebotol air berisi 582.02 mililiter cecair disyaki air ketum.

Susulan daripada penahanan terbabit, pasukan operasi berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai pembekal utama minuman berkenaan.
Difahamkan, rampasan pada operasi kedua melibatkan 27 botol air ketum dengan jumlah anggaran 40,500 mililiter serta lapan peket serbuk daun ketum seberat 4,022.65 gram.
Semua individu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
PDRM Sabah merakamkan penghargaan atas kerjasama masyarakat dan terus menyeru orang awam untuk menyalurkan maklumat jenayah di kawasan masing-masing.
Sebarang maklumat berhubung aktiviti jenayah dapat membantu pihak polis mengambil tindakan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta keharmonian komuniti terpelihara.
Comments