Maklumkan Sabah Electricity sebelum mulakan kerja pepasangan elektrik, elak tragedi
nabalunews

14 Disember 2024
KOTA KINABALU: Susulan insiden tiga pekerja kontraktor maut terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan panel solar di bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau, Sabah Electricity mengingatkan orang awam serta semua pihak untuk menghubungi pejabat Sabah Electricity berdekatan sebelum melakukan kerja-kerja melibatkan pepasangan elektrik.
Dalam satu kenyataan di Facebook rasminya semalam, syarikat utiliti itu memaklumkan, tindakan ini adalah untuk memastikan pihak Sabah Electricity dapat menutup bekalan sekiranya perlu.
“Langkah ini bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku,” kata kenyataan itu.
Dalam insiden pagi tadi, tiga pekerja kontrak maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja memasang panel solar di kawasan bangunan JKR Ranau.
Mangsa yang maut dalam kejadian jam kira-kira 10.30 pagi itu adalah warga tempatan berusia 50 tahun, manakala dua lagi mangsa warga asing berusia 25 dan 36 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Ediansha Endal, berkata siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Comments