top of page

Malaysia bantu belia negara membangun, selepas perang

  • nabalunews
  • Sep 10, 2024
  • 1 min read

10 September 2024


PUTRAJAYA: Malaysia akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan khusus bagi belia dari negara membangun dan negara selepas perang seperti Iraq, Afghanistan, Libya dan Timor Leste, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.


Katanya perkara itu dipersetujui pada pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Institut Kajian Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Prof Tetsuya Watanabe; Ketua Pakar Perdagangan di Bank Dunia, Dr Roberto Echandi serta Pengurus Praktis dan Perdagangan Global di Bank Dunia, dalam lawatan empat harinya ke Switzerland bermula Jumaat lalu yang berakhir semalam.


"Ini satu pengiktirafan besar kepada negara kerana mendapat mandat untuk membangunkan pusat berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini, lapor Bernama.


Zambry berkata ini adalah satu daripada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan akses pendidikan terbaik kepada penduduk negara berkenaan untuk mendapat pendidikan tinggi, seterusnya berbakti membangunkan negara masing-masing.


Beliau berkata, hasrat itu disambut baik selaras dengan fokus KPT iaitu mengantarabangsakan pendidikan tinggi.


"Pada peringkat awal, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi penyelaras bagi program berkaitan, dalam menjayakan inisiatif ini," katanya.


Dalam lawatan ke Switzerland atas jemputan Institut Perdagangan Dunia (WTI) itu, Zambry menyertai beberapa perjumpaan dua hala, mengadakan perbincangan selain menyampaikan ucaptama.


Beliau berkata, lawatan ke Switzerland membuahkan hasil dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama strategik dalam menjayakan agenda pembangunan bakat terbaik dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

Kommentare


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page