Malaysia di kedudukan ke-62 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021, jatuh lima tangga
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia di kedudukan ke-62 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021, jatuh lima tangga



25 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PETALING JAYA: Malaysia kini berada di kedudukan ke-62 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021, jatuh lima tangga berbanding pada tahun 2020.


Menurut laporan Astro Awani, Malaysia merekodkan skor 48 peratus berbanding 51 peratus pada tahun sebelumnya.


Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berkata skor yang direkodkan Malaysia sesuatu yang tidak bagus kerana jika dilihat pada Barometer CPI, Malaysia bergerak ke arah markah yang lebih rendah.


“Sepatutnya kita bergerak ke arah lain (markah lebih tinggi). Anda boleh lihat dari 2021 (2021 hingga 2019), skor kita berkurang lima dalam masa tiga tahun.


“Mungkin ada yang kata, baru lima sahaja tapi kurang lima skor sebegitu adalah sangat serius, sangat membimbangkan bila kurang sebegitu. Ini adalah satu perkara yang kita perlu lihat dengan lebih serius,” katanya pada pembentangan Corruption Perceptions Index 2021 ''Corruption Human Rights & Democracy" yang diadakan secara maya pada Selasa.


Beliau berkata, negara yang menduduki tangga teratas dalam CPi ialah Denmark, New Zealand dan Finland yang mana semuanya mencatatkan skor 88 daripada 100.


Sementara itu, Singapura terus kekal dalam kedudukan 10 terbaik, menduduki tangga keempat CPI dengan skor 85 iaitu satu-satunya negara Asia yang termasuk dalam senarai itu.


Dalam konteks Asia Tenggara, Malaysia berada pada kedudukan ketiga di belakang Singapura dan Brunei manakala tangga keempat ialah Indonesia diikuti Thailand pada tangga kelima.



bottom of page