top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia gesa Majlis Keselamatan PBB ambil tindakan tangani konflik Palestin-Isreal

9 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Parlimen Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengambil tindakan segera meminta semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza, demi menghormati dan melindungi nyawa orang awam.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, masyarakat antarabangsa juga hendaklah meningkatkan tekanan ke atas semua pihak untuk mengambil tindakan segera menghentikan pertempuran demi keamanan dan kestabilan serantau.


"Rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Isreal, hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Isreal dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.


“Malaysia berpendirian teguh bahawa setiap konflik boleh diselesaikan di meja perundingan dan percaya Palestin akan dibebaskan dari cengkaman rejim Zionis dan akan mendapat semula hak-hak mereka yang diperjuangkan selama ini," katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri berhubung perkembangan semasa konflik Palestin-Isreal di Dewan Rakyat, hari ini.


Ahmad Zahid berkata, pendirian dan dasar luar negara oleh Kerajaan Madani dalam konflik Palestin-Isreal adalah jelas dan tidak pernah berubah.


"Perjuangan membebaskan tanah dan hak rakyat Palestin akan tetap menjadi salah satu tunjang keutamaan dasar luar Kerajaan Malaysia.


"Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Isreal, hak dikembalikan tanah yang telah dirampas oleh Isreal dan hak membentuk sebuah negara Palestin," katanya.


Beliau berkata, pendirian lantang dan tegas Malayisa kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa, termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan PBB.


“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB di New York pada 22 Septemer lalu dengan tegas menekankan pendrian Malaysia mengenai isu Palestin.


“Ketegasan Malaysia juga jelas dilihat berdasarkan kenyataan keras yang sering dikeluarkan negara dalam mengecam dan membantah segala bentuk provokasi dan tindakan keganasan rejim Israel.


“Ia termasuk menggesa masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk terus menekan rejim Isreal agar menghentikan dasar apartheid dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin,” katanya.


Ahmad Zahid berkata, Malaysia terbuka dan akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Isreal.


“Penyelesaian itu hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB serta memenuhi teras yang telah saya nyatakan dahulu.


“Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat,” katanya.


Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen atas solidariti untuk Palestin, walaupun sering wujud percanggahan dan perbalahan antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam pelbagai isu.


Katanya, atas semangat Perpaduan dan solidariti rakyat Malaysia, dan berdasarkan prinsip-prinsip Malaysia MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihasn, beliau memohon Ahli-Ahli Yang Berhormat menyokong sepenuhnya ketetapan yang telah dinyatakan.

Comentarios


bottom of page