top of page

Malaysia - Jepun jalin kerjasama dalam bidang penyiaran, ICT, pos, kurier

  • Wartawan Nabalu News
  • Nov 6, 2023
  • 1 min read

6 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam bidang penyiaran, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pos dan kurier akan diperkukuhkan melalui memorandum kerjasama (MOC).


MOC itu ditandatangani oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun di Seri Perdana, dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio Kishida.


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata MOC itu adalah lanjutan daripada mesyuarat dua hala yang diadakan pada Februari lepas sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN di Filipina.


Beliau berkata MOC itu akan mengeratkan lagi kerjasama kedua-dua kementerian dalam pertukaran pengetahuan dan pengalaman dalam bidang penyiaran, ICT serta pos dan kurier.


“Saya lihat MOC ini adalah satu langkah kanan dalam meningkatkan hubungan kedua-dua negara khususnya antara dua kementerian terbabit dalam beberapa aspek termasuk isu seperti keselamatan siber, rangkaian 5G dan ekonomi digital,” katanya.


Beliau juga berkata Malaysia ingin mempelajari beberapa perkara yang telah dilaksana dan diusahakan di Jepun seperti penggunaan internet satelit sebagai backhaul untuk telekomunikasi di beberapa lokasi di negara itu.


“Di Malaysia, kita di peringkat pembuktian konsep tapi di Jepun, ia telah dilaksanakan pada skala yang sangat besar. Jadi, kita ingin lihat kesesuaian menggunakan teknologi seperti itu di Malaysia,” katanya.


Tambah beliau, siri perbincangan lebih lengkap serta menyeluruh akan diadakan sebelum sidang khas sempena 50 tahun hubungan ASEAN dan Jepun berlangsung di Tokyo pada Disember ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page