top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia kecewa kurangnya kemajuan tangani krisis Myanmar – PM


11 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Malaysia menyuarakan rasa kecewa terhadap ASEAN kerana kurangnya kemajuan dalam menangani krisis kemanusiaan dan pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar yang berlarutan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan terus menyokong usaha Indonesia selaku pengerusi ASEAN untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui oleh para pemimpin ASEAN pada November tahun lalu.


Anwar yang sedang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia, memberitahu akhbar The Star bahawa situasi di Myanmar masih mencabar dan 5PC harus dilaksanakan secara keseluruhan.


Antara agenda 5PC ialah menggesa agar keganasan dihentikan serta-merta dan dialog politik yang inklusif diadakan.


"Malaysia berasa kecewa kerana masih terdapat kekurangan kemajuan yang bermakna dan sebenar terhadap 5PC. Kami kekal menyokong usaha utusan khas pengerusi (Indonesia)," katanya.


Anwar juga memberi jaminan bahawa Malaysia akan menggunakan hubungan baik dengan negara-negara lain bagi menyokong usaha komuniti antarabangsa dalam menyelesaikan krisis di Myanmar.


Beliau berkata, resolusi aman di Myanmar hanya boleh dicapai menerusi kehendak kolektif semua pihak yang terlibat di Myanmar untuk menjunjung aspirasi rakyat Myanmar seperti yang dicerminkan dalam pilihan raya umum pada November 2020.

bottom of page