MALAYSIA KESAN DUA KES PERTAMA COVID-19 VARIAN NIGERIA B1.525
5 Mac 2021
KUALA LUMPUR: Malaysia mengesan dua kes pertama COVID-19 yang dijangkiti Varian Nigeria SARS-CoV-2 yang juga dikenali sebagai B1.525 di Malaysia, membabitkan dua warganegara asing.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua individu berkenaan tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan didapati positif COVID-19 melalui ujian swab RT PCR.
“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) seterusnya melakukan penjujukan genom penuh setelah mengambil kira sejarah perjalanan mereka.
“Analisis lebih lanjut menunjukkan terdapatnya semua mutasi yang dilaporkan berkait dengan varian tersebut,” katanya dalam catatan Facebooknya hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, varian Nigeria, B1.525, pertama kali dikesan di United Kingdom (UK) dan Nigeria pada Disember 2020.
Katanya, ini termasuk mutasi "spike protein" E484K, Q677H, F888L dan rangkaian “protein deletions” serupa yang dilihat dalam varian UK B.1.1.7.
Menurut Dr Noor Hisham, mutasi "spike protein" E484K juga mendapat perhatian kerana ia dilaporkan dapat menghindari sistem imun.
“Sejak varian itu dikesan, sebanyak 360 urutan varian ini boleh dijumpai di GISAID (satu inisiatif sains global dan sumber utama untuk data genom irus influenza), dengan laporan tertinggi dari Denmark (n = 121) , diikuti oleh UK (n = 73) dan Nigeria (n = 56).
“Varian Nigeria juga boleh menyebabkan peningkatan dalam kebolehjangkitan serta kemungkinan penurunan tindak balas imun,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia melalui IMR dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi Nigeria B1.525 ini dan akan memaklumkan orang awam dari semasa ke semasa.
“Walaupun program vaksinasi COVID-19 sedang dilaksanakan, pendekatan kesihatan awam masih perlu terus diamalkan kerana imuniti kelompak masih belum tercapai.
“Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa,” katanya. - Bernama
Comments