top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia lancar laman sesawang untuk menentang tuntutan waris Sultan Sulu


13 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia berusaha keras untuk menolak tuntutan waris Sultan Sulu yang mengancam kedaulatan dan keselamatan negara.


Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my dilancarkan sebagai usaha untuk menyanggah fakta salah dan tohmahan yang dibuat oleh pihak penuntut.


“Justeru laman rasmi ini akan menyanggah laporan tidak benar, putar belit tafsiran sejarah dan tohmahan mereka agar diketahui oleh masyarakat dunia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman tersebut yang diterbitkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam pilihan versi lima Bahasa kelmarin.


Jelas beliau laman sesawang ini akan memaparkan segala fakta dan bukti yang menyokong kedudukan Malaysia dalam kes ini.


Beliau berkata, laporan tidak benar yang dibuat oleh pihak penuntut telah memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

Pada Februari 2022, lapan individu yang mendakwa mereka sebagai waris Sultan Sulu, Jamalul Kiram II, telah mendapat anugerah sebanyak $14.9 bilion daripada Kerajaan Malaysia melalui arbitraj antarabangsa.


Tuntutan ini berdasarkan kepada perjanjian lama antara Kesultanan Sulu dengan wakil Syarikat Borneo Utara British pada abad ke-19 dalam format tulisan jawi.


“Malaysia menolak sepenuhnya anugerah itu dan tidak mengiktiraf kesahihannya. Malaysia kini sedang berperkara di beberapa negara Eropah untuk memastikan anugerah itu dibatalkan.


“Kes ini merupakan salah guna proses arbitraj dan undang-undang antarabangsa. Ia merupakan cubaan untuk memeras negara berdaulat, dan kewujudan anugerah itu mencemarkan nama baik sistem arbitraj yang dihormati di seluruh dunia.


“Kerajaan Malaysia juga telah membentuk Sekretariat Khas yang akan mengambil tindakan melalui media dan hubungan diplomatik untuk menangkis tohmahan pihak penuntut,” katanya.


Oleh itu beliau berharap rakyat Malaysia yang mengikuti kes ini dapat berkongsi mengenai segala fakta dipaparkan laman sesawang tersebut demi mempertahankan kedaulatan negara.

Comments


bottom of page