top of page
nabalunews

Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ membawa makna mendalam untuk masyarakat hayati

14 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


NABAWAN: Setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ yang membawa makna mendalam untuk masyarakat hayati.


Pengerusi Komuniti Madani Kampung Salarom Baru Marutin Ansiung berkata, selaras dengan makna ‘Jiwa merdeka’ yang menekankan kebebasan rakyat Malaysia daripada elemen negatif, maka tiga elemen utama sering dibincangkan dalam konteks psikologi, iaitu emosi, pemikiran dan tindakan, perlu diperkasakan.


Katanya, kebebasan emosi dalam kalangan penduduk amat terbatas ketika zaman penjajahan yang membangkitkan kemarahan, kekecewaan dan kesakitan emosi kerana kerakusan serta kekejaman penjajah.


"Pada ketika itu ramai memilih memendam emosi kerana ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan diri serta keluarga. Namun selepas merdeka, rakyat diberi kebebasan meluahkan emosi, sama ada positif ataupun negatif" katanya.


Jelasnya, emosi positif dapat meningkatkan kesejahteraan diri dan keharmonian dalam kalangan masyarakat namun emosi negatif seperti kemarahan, kekecewaan dan kesedihan juga mempunyai tempat dalam konteks psikologi.


Katanya, jika emosi negatif dipendam terlalu lama, ia boleh menjadi seperti gunung berapi yang akhirnya meletus dan membawa kesan buruk.


"Kegagalan menguruskan emosi negatif, seperti yang dapat dilihat dalam masyarakat masa kini boleh membawa kepada pelbagai isu kesihatan mental" katanya.


Beliau berucap menangguhkan Program Jiwa Merdeka sambutan Hari Malaysia peringkat Kampung Salarom Baru anjuran Komuniti Madani Kampung Salarom Baru dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Ulu Mosopoh Nabawan dan Jabatan Penerangan Daerah Nabawan.


Sehubungan itu katanya bagi membina jiwa merdeka, rakyat perlu bijak menangani dan menguruskan emosi dengan cara sihat supaya dapat memainkan peranan positif dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat.


Beliau berkata, kebebasan pemikiran adalah asas kepada pembentukan jiwa merdeka berdaya saing, namun ia bukan sesuatu yang mutlak, sebaliknya perlu berlandaskan prinsip kebenaran dan nilai murni yang menjadi tunjang negara.


Kebebasan pemikiran juga katanya, mewakili keupayaan rakyat menilai sesuatu isu secara terperinci dan rasional, mempertimbangkan pelbagai perspektif, termasuk baik dan buruk serta membuat keputusan berdasarkan fakta sahih dan nilai kukuh tanpa mudah dipengaruhi tekanan atau pengaruh negatif luar.


Jelasnya lagi, pemikiran merdeka juga memerlukan rakyat bersedia berfikir secara terbuka dan inovatif dalam usaha memajukan diri serta negara.


Dalam konteks Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum, kebebasan pemikiran harus diterjemahkan kepada toleransi dan penghormatan terhadap kepelbagaian.


Pelbagai acara pengisian program itu diadakan seperti perarakan sambutan Hari Malaysia, Kuiz Kenegaraan, pertandingan melukis dan mewarna Jalur Gemilang, persembahan lagu patriotik dan cabutan nama bertuah.

تعليقات


bottom of page