- nabalunews
Malaysia mampu menjadi peneraju lestari serantau dalam industri aeroangkasa
21 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi besar untuk menjadi peneraju serantau dalam amalan lestari, khususnya dalam industri penerbangan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.
Beliau menegaskan bahawa negara ini boleh memanfaatkan kelebihan yang dimiliki dalam industri aeroangkasa dengan memperkukuhkan kerjasama serantau serta mempercepat penggunaan teknologi hijau di seluruh ASEAN.
Liew turut menyatakan bahawa potensi Malaysia dalam industri aeroangkasa tidak sepatutnya terhad hanya sebagai pembekal, tetapi juga harus dihubungkan secara langsung dengan industri semikonduktor, pembangunan kimia, dan mineral.
"Menerusi hubungan ini, Malaysia boleh berinovasi dan mencipta produk, proses, atau bahan baharu dengan harta intelek Malaysia. Malaysia bukan sahaja mahu menjadi hab pembuatan, malah bercita-cita untuk menjadi sebuah negara yang berdaya cipta," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2024 (MyAERO‘24) semalam, lapor Berita RTM.
Majlis tersebut menghimpunkan lebih 40 pempamer dan lebih 2,000 peserta termasuk daripada kalangan industri, pelajar universiti, dan sekolah.
Liew turut menambah bahawa terdapat potensi untuk menghubungkan industri minyak sawit dengan aeroangkasa bagi pembangunan bahan api penerbangan mampan.
Comments