Malaysia perlu alih ke rantaian semikonduktor bernilai tinggi, amal teknologi mampan
- nabalunews
- Oct 8, 2024
- 2 min read

8 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih ke rantaian semikonduktor yang bernilai tinggi, selain ke arah teknologi dan amalan yang mampan setelah lama menjadi pemain global dalam pembuatan elektronik dan elektrik (E&E), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Memandangkan permintaan untuk cip yang lebih maju terus meningkat, seiring dengan gelombang kecerdasan buatan, EV, dan pemanduan autonomi serta sebagai tindak balas terhadap pelbagai faktor geopolitik dan geo-ekonomi.
“Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 (NIMP) Malaysia , mestilah cukup lincah untuk membuat pelarasan yang diperlukan untuk berdepan kegelisahan kuasa pasaran," katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.
Beliau berucap pada pembukaan Forum Khazanah Megatrends (KMF) yang ke-19 di sini, semalam.
Forum itu kali ini meneroka bagaimana perubahan kecil boleh memberi impak penting dalam dunia yang semakin kompleks.
Sementara itu, mengulas mengenai peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia ujarnya perlu bersedia untuk memimpin dengan visi perpaduan, keterangkuman dan kerjasama.
Datuk Seri Anwar yang juga Pengerusi Khazanah Nasional berkata, aspek geopolitik baru-baru ini mengancam kestabilan rantau ASEAN tetapi melalui kepimpinan bersama dan dasar berkecuali yang kuat, kepimpinan rantau ini boleh mengatasi cabaran berkenaan.
“Kita mungkin melangkaui ASEAN, sambil kita meneroka perkongsian dengan BRICS, yang akan memperdalam hubungan global Selatan-Selatan.
“Kami mengulangi penekanan untuk mematuhi perintah berasaskan peraturan, di peringkat serantau dan antarabangsa namun menolak kepura-puraan dan piawaian berganda yang dipatuhi oleh negara Barat apabila ia sesuai dengan mereka.” tambahnya.
Dalam pada itu katanya, dunia juga memerlukan seni bina kewangan yang baharu, berasaskan prinsip ekuiti, permainan adil dan keadilan kerana rantau ini tidak boleh terus membiarkan diri dirugikan oleh anomali dan penyimpangan sistem Bretton Woods.
Sistem pengurusan monetari Bretton Woods menetapkan peraturan untuk hubungan komersial antara Amerika Syarikat, Kanada, negara-negara Eropah Barat dan Australia dan negara-negara lain.
Comentários