top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia perlu wujudkan akta khusus elak tuntutan asing – Azalina


10 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengusulkan agar Malaysia mempertimbangkan untuk menggubal satu Akta Imuniti bagi melindungi negara daripada sebarang kemungkinan tuntutan asing.


Usul tersebut muncul akibat dari kes tuntutan kumpulan yang mengaku waris Sulu, yang menampilkan pertikaian kompleks dan melibatkan pelbagai isu asas yang secara langsung memberi kesan kepada komuniti timbang tara serta pihak berkepentingan dalam masyarakat antarabangsa, dan juga negara berdaulat.


"Saya berpendapat seharusnya kita di Malaysia, dengan insiden (tuntutan) ini dan mungkin pada masa hadapan dengan lebih banyak tuntutan, melihat kewujudan Akta baharu yang dipanggil Akta Imuniti Negara," kata Azalina ketika menyampaikan ucaptama di Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 kelmarin.


Menurut Azalina, kes tersebut menunjukkan bahawa terdapat pelanggaran ketara serta penyalahgunaan mekanisme dan proses timbang tara yang dihormati di peringkat global.


Hal ini disusuli dengan fakta bahawa pemberian Anugerah Akhir pada 28 Feb 2022 oleh Dr Gonzalo Stampa dalam prosiding timbang tara yang dikatakan dimulakan oleh pihak yang menuntut Sulu, adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan di Malaysia.


Kolokium Antarabangsa 2023 adalah salah satu daripada banyak usaha proaktif kerajaan untuk memastikan pemahaman yang menyeluruh tentang prosedur dan fakta undang-undang berhubung tuntutan kumpulan yang mengaku waris Sulu itu terhadap rakyat dan kerajaan Malaysia.


Kolokium ini menghimpunkan pengamal undang-undang kanan tempatan dan asing, pakar undang-undang, penimbang tara bertauliah serta ahli akademik untuk membincangkan isu ini.


"Kerajaan akan terus melibatkan semua pihak berkepentingan yang berkaitan di Malaysia untuk memastikan segala usaha telah dilaksanakan dalam menangani perkara ini dan dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sementara itu, Azalina turut menegaskan bahawa Perjanjian 1878 mahupun Pengesahan Penyerahan 1903 tidak menetapkan sebarang perjanjian timbang tara antara pihak asal serta kumpulan Sulu dan kerajaan Malaysia.


Perjanjian timbang tara adalah pra-syarat dan asas bagi mana-mana prosiding timbang tara. Oleh itu, permulaan prosiding timbang tara yang dikatakan oleh pihak yang menuntut Sulu itu adalah tanpa asas.



bottom of page