top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia tawar persekitaran kondusif untuk pelabur Australia dan Asean – PM Anwar


7 Mac 2024

By Wartawan Nabalu News


MELBOURNE: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi menarik para pelabur dari negara ASEAN dan Australia, Malaysia menawarkan persekitaran yang kondusif bagi pelaburan dan pertumbuhan ekonomi, berdasarkan kestabilan politik, kejelasan dasar dan tadbir urus yang baik.


"Menerusi kestabilan politik ini, kita memberi tumpuan terhadap tadbir urus yang baik. “Selain itu, wujud kejelasan dasar iaitu perancangan serta keutamaan yang lebih jelas," kata beliau di hadapan barisan hadirin antarabangsa yang menghadiri acara berkenaan.


Beliau berkata ini ketika menyampaikan ucapan utama di Persidangan Invest Asean di sini pada Khamis, yang bertujuan untuk menarik minat pelabur dan perniagaan Australia dan Asean untuk melabur di Malaysia.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata di bawah kepimpinan beliau, Malaysia berada dalam keadaan stabil dan kukuh, dan komited untuk mempercepat transformasi digital sebagai salah satu keutamaan utama.


"Kita komited untuk mengambil apa juga langkah wajar bagi memastikan ini dapat direalisasikan," kata beliau.


Beliau juga menegaskan bahawa peranan kerajaan bukan sahaja menyediakan kemudahan berkaitan, tetapi juga melibatkan aspek mempercepat proses serta berupaya mengenal pasti soal keutamaan.


"Bagi saya, isu dengan kerajaan ialah adakalanya kita (menganggap) seperti tahu semua perkara. Atas alasan inilah, saya katakan kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bahawa walaupun kita telah menggariskan kejelasan dasar ini dari segi peralihan tenaga, kita juga perlu memikirkan mengenai masa depan," kata beliau.


Anwar, yang sedang melakukan lawatan rasmi ke Australia pada 4-7 Mac ini atas jemputan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Anthony Albanese, juga menjelaskan bahawa dana kekayaan negara seperti Khazanah Nasional dan Petronas, yang dipengerusikannya, membuat keputusan perniagaan berdasarkan garis panduan dasar dan matlamat perniagaan.


"Biarpun secara teknikalnya saya mempengerusikannya, saya telah menyatakan dengan jelas. Keputusan itu, keputusan perniagaan adalah berdasarkan garis panduan dasar. Keputusan perniagaan mesti dibuat oleh mereka dalam bidang itu, kalangan pakar," kata beliau.

Kommentare


bottom of page