top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia undang firma Jerman, Eropah melabur dan jalin kerjasama


14 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


BERLIN: Malaysia membuka pintu peluang kepada firma Jerman dan perniagaan di seluruh Eropah untuk melabur dan menjalin kerjasama.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam lawatan rasmi enam hari ke Jerman, mempelawa perniagaan Jerman untuk mengambil bahagian dalam ekonomi Malaysia yang menawarkan tenaga kerja mahir, infrastruktur moden, dan persekitaran kawal selia yang jelas.


"Kami adalah sebuah ekonomi dinamik yang sesuai dan menepati abad ke-21, malah rakan kongsi yang sempurna untuk kalangan perniagaan Jerman," kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada acara SME Future Day 2024 (Mittelstand) khusus untuk kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sini, hari ini.


Acara yang diadakan di Berlin Station dan dianjurkan oleh Persatuan PKS Jerman (BVMW), menghimpunkan kira-kira 5,000 usahawan PKS selain turut disertai oleh wakil kerajaan dan tokoh korporat terkemuka negara itu.


Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengetengahkan kelebihan Malaysia sebagai pintu masuk strategik untuk Jerman ke pasaran Asean yang lebih besar.


"Asean dijangka muncul sebagai ekonomi kelima terbesar dunia menjelang 2030. Rantau ini turut menyediakan peluang bagi pertumbuhan yang eksponen," kata beliau.


Beliau juga mengambil peluang dengan mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan dan mengetengahkan keunikan negara ini yang kaya dengan hutan serta pantai yang boleh dikunjungi sepanjang tahun.


Perdana Menteri juga mengetengahkan manfaat yang boleh diraih pelabur asing daripada pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan bagi memudah cara menjalankan perniagaan, membina keyakinan terhadap sistem Malaysia yang pada akhirnya dapat memastikan kestabilan jangka panjang di negara ini.


Pada sesi pertemuan dengan perniagaan dan pelabur Jerman, Anwar memaklumkan mereka mengenai kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk kepada ekosistem halal dan ekonomi digital. Malah, sejajar usaha Jerman yang berhasrat untuk menembusi pasaran halal, beliau berkata, Malaysia selaku peneraju dalam industri bernilai berbilion dolar, adalah rakan kongsi yang ideal dengan menawarkan kepakaran, infrastruktur dan rangka kerja kawal selia halal yang mantap.


Sewaktu berucap, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Jerman serta ekonomi masing-masing dibangunkan pada asas yang sama iaitu bersandarkan PKS walaupun saiz sektor PKS Jerman jauh lebih besar.


Selain menggalakkan PKS untuk menerima inisiatif hijau, termasuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Anwar berkata kerajaan turut melonjakkan ekonomi digital dengan tumpuan khusus bagi menggalakkan teknologi digital kepada kalangan PKS bagi meningkatkan pertumbuhan eksport.


Sebanyak enam syarikat Malaysia menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menyertai pameran dalam acara itu di sini.

Commenti


bottom of page