top of page
nabalunews

MANA BANTUAN RM600 UNTUK PENGUSAHA BAS SEKOLAH? – JIN ZHE



10 Nov 2020

KOTA KINABALU: Penutupan sekolah turut memberi tamparan hebat kepada para pemandu bas sekolah di negeri ini.

Namun, bila bantuan RM600 yang dijanjikan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pada 10 Julai belum diagihkan sehingga sekarang, sekumpulan pengusaha bas sekolah tampil meminta penjelasan.

Mereka berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe untuk menyuarakan isu berkenaan.

Jin Zhe berkata, pengusaha bas sekolah mengadu tentang bantuan RM600 yang dijanjikan Kementerian Pengangkutan pada Julai lalu.

Oleh itu, beliau meminta kementerian tersebut dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah menjelaskan kenapa sehingga kini bantuan yang diumumkan belum disampaikan.

“Permohonan untuk bantuan itu ditutup pada 14 Ogos lalu dan pengusaha bas sekolah sudah menunggu selama tiga bulan tapi belum ada sebarang makluman mengenai bantuan tersebut.

“Pengusaha bas juga berada dalam kebingungan kerana tidak tahu status permohonan mereka. Adakah mereka perlu terus menunggu dalam ‘kegelapan’” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Kementerian Pengangkutan pada 10 Julai, 35,000 pengusaha bas akan menerima bantuan khas RM600 tersebut. Peruntukan sejumlah RM21 juta telah disediakan untuk tujuan itu.

Malah, Ka Siong juga telah mengadakan perjumpaan bersama pihak pemegang taruh pada 14 Mei.

Menerusi akaun Facebooknya, menteri pengangkutan itu menyatakan tiada sesiapa akan terpinggir. Namun, setelah tiga bulan menunggu bantuan itu, pengusaha bas sekolah di Kota Kinabalu masih menunggu bantuan tersebut. Adakah pengusaha bas sekolah di Sabah dipinggirkan?.

Wakil pengusaha bas, Anthony Wong berkata, mereka seperti dipinggirkan oleh kerajaan sedangkan mereka amat terkesan susulan penularan Covid-19.

Penularan jangkitan Covid-19 yang membawa kepada penutupan sekolah menyebabkan ramai pengusaha bas tidak memperoleh pendapatan. Jadi, mereka berharap kerajaan akan melihat kesukaran yang mereka hadapi dan membantu mereka berdepan keadaan yang mencabar ini.

Jin Zhe turut mengulas Belanjawan 2021 yang dilihat tidak mengambil kira masalah pengusaha bas sekolah. Subsidi untuk pengusaha bas tidak disebut dalam belanjawan dan itu amat mengecewakan.

Beliau sekali lagi meminta menteri pengangkutan supaya menunaikan janji yang dibuat untuk membela nasib para pengusaha bas sekolah di negeri ini. – Borneo Today

Comentarios


bottom of page