MANGSA BANJIR BEAUFORT MOHON BANTUAN, PENYELENGGARAN SEGERAMANGSA BANJIR BEAUFORT MOHON BANTUAN, PENYELENGGARAN SEGERA
top of page
  • nabalunews

MANGSA BANJIR BEAUFORT MOHON BANTUAN, PENYELENGGARAN SEGERA


Operasi pemindahan mangsa banjir di Beaufort, Sabah (Gambar: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah)

18 Mei 2021

BEAUFORT: Mangsa banjir di sini memohon bantuan, kemudahan dan penyelenggaraan sistem saliran segera disalur serta dilaksana supaya mereka tidak lagi berdepan dengan bencana itu setiap tahun.

Hazizah Matniasin, 31, dari Kampung Bakalau berkata sudah menjadi kebiasaan penduduk kampung itu serta kawasan sekitarnya berpindah akibat banjir setiap tahun malah ada yang terpaksa berbuat demikian sebanyak dua kali.


“Sepatutnya banjir ini tidak menjadi kebiasaan, kami memohon kerajaan mengambil inisiatif atasi masalah dengan membaiki sistem saliran terutama sungai yang melimpah terutama apabila hujan lebat," kata suri rumah itu kepada Bernama di Pusat Pemindahan Sementara Dewan DP Mohd Dun Banir di sini kelmarin.

Katanya penduduk turut menanggung kerugian tinggi akibat kerosakan barangan milik mereka malah ada yang berdepan kesukaran meneruskan kehidupan selepas banjir, justeru mereka memohon bantuan terutama kewangan disalur dengan segera.

Mohd Azam Junaidi, 30, pula berkata penyelenggaraan terhadap sistem saliran terutama sungai perlu dilakukan dengan kerap terutama di Sungai Padas yang kini berada di paras bahaya bagi membolehkan airnya mengalir lebih baik dan mencegah banjir di daerah itu.


"Pada saya, jangan terlalu fikir sangat mahu buat projek juta-juta, mahu buat tebatan banjir dan sebagainya, salurkan dahulu kemudahan dan peruntukan untuk penyelengaraan sungai. Saya percaya sungai dan sistem saliran, jika diselenggara dengan betul, boleh bantu kita (cegah banjir)," katanya.

Buruh binaan dari Kampung Sungkadan itu mengucapkan terima kasih atas kemudahan yang disediakan di PPS Dewan DP Mohd Dun Banir namun mencadangkan agar lebih banyak barangan keperluan untuk ibu dan anak kecil seperti lampin pakai buang serta susu disalurkan.

Pegawai Daerah Beaufort Abdul Imam Basirun pula berkata 33 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS itu petang ini dan pihaknya kini memantau situasi banjir di daerah tersebut bagi memastikan semua penduduk dalam keadaan selamat.

"Lebih 30 anggota antaranya daripada Angkatan Pertahanan Awam, bomba, polis, Jabatan kesihatan Sabah, pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah digerakkan untuk membantu mangsa banjir di daerah ini," katanya. - Bernama



bottom of page