Mangsa banjir masih trauma kejadian baru-baru ini
18 Sept 2021
Oleh Ilona Andrew
KOTA KINABALU: Kejadian banjir kilat yang berlaku di sekitar kawasan pantai barat sehari sebelum Hari Malaysia baru-baru ini sudah tentu akan menjadi memori pahit yang sentiasa akan diingati mangsa-mangsa banjir di sini.
Dipercayai kejadian tersebut merupakan kejadian banjir yang paling teruk pernah dialami beberapa mangsa di kawasan sekitar ini.
Salah seorang mangsa yang menetap di Kampung Sugud, Penampang berkata, beliau dan keluarganya masih merasa trauma kerana tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka dihanyutkan banjir.
Rauf Abdullah Jimpol yang baru berpindah ke Kg Sugud empat bulan lalu berkata hanya dokumen peribadi sahaja yang sempat diselamatkan.
“Masa kejadian itu, kami tiga orang sekeluarga terpaksa menaiki sebuah pokok untuk menyelamatkan diri kerana air naik dengan cepat dan sangat deras masa itu.
“Nasib baik orang kampung sempat menolong saya, ibu saya dan kakak saya yang sedang hamil sembilan bulan menggunakan tali,” katanya ketika dihubungi wartawan Nabalu News, hari ini.
Menurut Rauf, inilah pertama kali beliau dan keluarganya mengalami kejadian sebegitu.
“Syukur kami sekeluarga selamat walaupun kami kehilangan segalanya. Sekarang ini kami terpaksa menumpang di rumah ipar kami di Manggatal.
“Walaupun tiada apa-apa kecederaan yang kami alami, kami merasa sangat trauma. Saya juga amat berterima kasih kepada orang kampung yang menyelamatkan kami pada masa itu, hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa mereka,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir yang menetap di Kampung Sugud Koidupan turut mengalami nasib yang sama di mana beliau kehilangan sebuah rumah beranggaran RM35,000 yang hancur akibat arus deras.
Janet Kamizi, 37, berkata air hujan naik dengan pantasnya iaitu hanya dalam 15 minit selepas hujan lebat mulai turun.
“Pada masa itu, air hujan sudah naik ke lantai rumah lalu saya mengalihkan sampah-sampah yang diletakkan di luar rumah agar ia tidak masuk ke dalam rumah dibawa air banjir.
"Tetapi sekejap sahaja air banjir lumpur masuk dari belakang rumah, lalu anak-anak saya pun berlarian naik ke atas meja. Tidak lama kemudian, mesin basuh kami hanyut.
“Memandangkan kami dalam keadaan cemas melihat air naik dengan cepat, saya, ayah saya yang berumur 70 tahun, dan anak-anak berlari ke rumah jiran sebelah yang terletak di bukit. Walaupun masa itu jiran kami tidak ada, kami terus memasuki rumah itu kerana aras air sudah mencapai bahu,” katanya, menceritakan semula kejadian itu.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata beliau sempat menghubungi bomba tetapi mereka diarah untuk menunggu kerana pada ketika itu, terdapat 19 kes yang perlu diberi perhatian.
“Tidak lama kemudian, telefon saya kehabisan batteri. Kami berserah sahaja dan tawakal agar tiada apa-apa berlaku pada masa itu.
“Anak-anak pula kelaparan tetapi kami terpaksa menunggu sehingga pukul 9 malam apabila air mulai surut. Kami beranikan diri meredah banjir walaupun aras air masih mencapai pinggang kerana anak sudah kelaparan.
“Apabila sampai rumah, kesemua barang-barang dan makanan telah hanyut dan tiada yang tinggal. Anak terpaksa menahan lapar lagi sehingga pukul 3 pagi apabila suami saya akhirnya dapat memasuki kawasan kampung kami selepas air mulai surut,” jelasnya.
Tambahnya lagi, walaupun keadaan rumah kucar kacir, mereka sekeluarga sudah tidak peduli dan tidur sahaja di tempat tidur yang basah dan berlumpur kerana sudah terlalu penat, lapar dan kesejukan.
Janet dan keluarganya kini menumpang di rumah orang buat sementara waktu ini sehingga kerja pembersihan selesai.
Di Kinarut pula, mangsa banjir McKenzie Gobile berkata beliau dan keluarganya mengalami kerosakan beranggaran RM10,000, tidak termasuk kos membaiki kenderaan, akibat kejadian banjir itu.
“Kami mengalami kerosakan motorsikal, kereta, peti ais, sofa, katil, tilam, almari, meja, kerusi, telefon pintar, dan bermacam-macam lagi.
“Walaupun kami mengalami kerugian yang besar, tidak ada seorang ahli keluarga kami yang tercedera semasa kejadian itu,” kata penduduk Kampung Langkuas, Kinarut itu.
McKenzie berkata, buat sementara ini beliau dan keluarganya terpaksa mencari tempat penginapan di luar sehingga proses pembersihan yang akan mengambil masa kira-kira seminggu untuk selesai.
“Ini merupakan pertama kali kejadian seperti ini berlaku di sini. Saya berharap Kerajaan dapat mencari penyelesaian untuk membaiki sistem pemparitan di sini.”
Sementara itu, Ignatia Lorna Rubin yang menetap di Kampung Labak, Kinarut berkata kejadian banjir itu merupakan kejadian banjir pertama di kampung itu.
“Kami menganggarkan kos keseluruhan kerugian sebanyak RM6,000 atau lebih, termasuk kerosakan harta benda seperti peti sejuk, mesin basuh, perabot dan lain-lain lagi.
“Bagaimanapun, tiada ahli keluarga kami yang tercedera semasa kejadian itu dan kami sangat bersyukur,” katanya.
Tambah Ignatia, beliau sekeluarga bernasib baik kerana kediaman mereka merupakan rumah dua tingkat dan kerosakan hanya dialami di tingkat bawah.
“Hari ini sudah masuk hari ketiga aktiviti membersihkan kawasan dalam dan luar rumah. Lumpur pasir yang sangat tebal amat merumitkan keadaan, dan kebetulan seluruh kampung juga terputus bekalan air pada masa ini,” jelasnya.
Ignatia menzahirkan harapan agar pihak kerajaan akan memantau kawasan-kawasan yang dilanda banji bagi membantu mangsa-mangsa.
Comments