- nabalunews
Mangsa Kebakaran di Minintod dibantu Pusat Khidmat Parlimen Penampang
6 Ogos 2024
PENAMPANG : Sebuah keluarga yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Susuon Soboong, Minintod, di sini, malam tadi, menerima bantuan barangan keperluan seharian dari Pusat Khidmat Parlimen Penampang.
Sumbangan diserahkan kepada ketua keluarga mangsa kebakaran, Redwan @ Steward Tundik.
Bantuan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Carl Moosom yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Pusat Khidmat Parlimen Penampang bagi meringankan beban mangsa kebakaran.
Kebakaran yang bermula kira-kira 10 malam semalam menyebabkan rumah didiami keluarga ini musnah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.18 malam.
Katanya, seramai 27 anggota termasuk pegawai bersama 4 jentera pemadam api dari BBP Penampang, Putatan dan Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran tiga pancutan dengan sumber air dari jentera bomba dan pili bomba berdekatan.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan kebakaran terkawal pada jam 10.42 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 1.05 pagi.
Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba, namun dipercayai akibat litar pintas.
Comments