top of page
  • Wartawan Nabalu News

Mangsa kebakaran di Narinang dapat perhatian Ewon



19 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran Puan Doilin Parantis di Kg. Narinang.


Pegawai Pusat Khidmat Adun Kadamaian mewakili Ewon menyerahkan sumbangan itu kepada keluarga Puan Doilin yang mengalami musibah kebakaran rumah, beberapa hari yang lalu.


“Selain sumbangan kepada mangsa kebakaran dan bencana alam seperti banjir, saya juga menyediakan peruntukan khas untuk setiap kelahiran, kematian, pesakit kronik, Orang Kurang Upaya (OKU) dan bantuan one off untuk pelajar yang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi.


“Program Sumbangan Kebajikan ini saya mulakan di DUN Kadamaian sejak tahun 2018 sehingga kini,” katanya.


Ewon berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan bebanan kepada keluarga berkenaan.


Sementara itu Pegawai Pusat Khidmat Adun Kadamaian Anichlose Kesimin dan Saikom Watis merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Cawangan UPKO Kg.Narinang, Kaimon yang mempermudahkan urusan lawatan ke lokasi kejadian, pada Selasa lalu.


Anichlose (kanan) dan Saikom (kiri) mewakili Ewon menyampaikan sumbangan.

Kelab Kebajikan Kadamaian turut menyalurkan sumbangan berupa makanan asas, keperluan kebersihan diri dan pakaian terpakai kepada keluarga berkenaan.


Pengerusi kelab itu Shainim Epin berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kelab dibawah Program Ziarah Kasih, bagi meringankan bebanan keluarga mangsa kebakaran.


“Kami terdorong untuk membantu setakat yang mampu sebab kita adalah sebuah keluarga dan komuniti di Kadamaian. Kita turut berduka dengan musibah yang berlaku kepada keluarga terlibat,” katanya.

Comments


bottom of page