MDNS Terus Komited Bantu Golongan Memerlukan
- nabalunews
- Apr 23
- 2 min read

23 April 2025
KOTA KINABALU: Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS) terus memperkukuh komitmennya dalam membantu golongan yang memerlukan, termasuk mereka yang terkesan akibat bencana dan golongan kurang berkemampuan.
Presiden MDNS, Datuk Claudius Roman berkata, pihaknya sentiasa bersedia menghulurkan bantuan, terutama komuniti yang tinggal di kawasan pedalaman atau dalam keadaan serba kekurangan.
“Sama ada menghadapi banjir atau membantu mereka yang tinggal di rumah usang, kami akan lakukan yang terbaik demi membantu,” katanya ketika majlis penyerahan bantuan di Inanam, Selasa lalu.

Menurut beliau, MDNS sebelum ini telah turun padang di kawasan Beaufort dan Keningau semasa bencana banjir, selain menyerahkan kerusi roda kepada seorang pesakit polio di Tuaran.
“Kini kami berada di Inanam dengan senarai individu yang kurang sihat dan memerlukan bantuan,” katanya.
Di Inanam, MDNS telah menyumbangkan empat buah kerusi roda, dua buah katil dan sebuah tilam kepada tujuh penerima yang telah memohon daripada MDNS.
“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membawa kelegaan dan meringankan beban mereka,” katanya.
Menurutnya, MDNS bukan hanya menumpukan kepada kebajikan ahli, malah turut membantu masyarakat umum, khususnya di kawasan luar bandar yang mungkin berdepan pelbagai kesusahan.
Katanya, ramai ahli MDNS terdiri daripada golongan profesional seperti dalam bidang perniagaan, perundangan dan perubatan, yang turut menyumbang dalam program kebajikan ini.
“Saya juga amat berbesar hati dengan kerjasama daripada Fanica Aloysius, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nountun, Inanam, yang membantu menjayakan acara penyerahan bantuan hari ini,” katanya.
Sementara itu, Fanica ketika ditemui berkata, dia amat gembira dengan sumbangan yang diberikan kepada lima penerima hari ini.
Katanya, hasil usahanya dan sokongan daripada Datuk Claudius, kelima-lima penerima yang sebelum ini membuat permohonan kepadanya dapat menerima sumbangan berkenaan.
“Mereka tidak mampu untuk membeli kelengkapan itu tetapi dengan adanya sumbangan ini, mereka akan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa,” katanya.
Comments