top of page
  • Wartawan Nabalu News

Mengadakan pilihan raya umum bukan pilihan terbaik ketika ini: Agong


18 Ogos 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan terbaik ketika ini. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato' Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara. “Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera. “Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan. “Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong turut bertitah supaya Perdana Menteri yang dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. “Agong juga bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempumakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. “Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat),” katanya. Yang di-Pertuan Agong dan Timbalannya berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara, semalam (17 Ogos, 2021). Turut hadir dalam sesi menghadap tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di Pertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara. Sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama terdiri daripada UMNO, DAP, PKR, Bersatu, PAS, Amanah, Warisan dan Pejuang telah berlangsung lebih 90 minit bermula dari jam 2.30 petang. Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap secara maya pada jam 1.40 petang komponen-komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS). “Seri Paduka Baginda telah menzahirkan bahawa Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak telah berkenan untuk menganjurkan sesi menghadap semalam bagi menyatakan pendirian untuk pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh jawatan Jemaah Menteri yang telah berkuat kuasa pada 16 Ogos, 2021. “Antara tujuan utama sesi menghadap itu adalah untuk menyatakan bahawa sesiapapun yang dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Berikut kenyataan penuh Istana Negara:


Kuala Lumpur, 18 Ogos 2021 - Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara, semalam (17 Ogos, 2021). Dengan titah Seri Paduka Baginda, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah disembah silakan turut berangkat hadir semasa sesi menghadap tersebut atas kapasiti Baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Turut hadir dalam sesi menghadap tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di Pertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara. Sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama terdiri daripada UMNO, DAP, PKR, Bersatu, PAS, Amanah, Warisan dan Pejuang telah berlangsung lebih 90 minit bermula dari jam 2.30 petang. Adalah dimaklumkan juga bahawa terdahulu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap secara maya pada jam 1.40 petang komponen-komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS). Seri Paduka Baginda telah menzahirkan bahawa Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak telah berkenan untuk menganjurkan sesi menghadap semalam bagi menyatakan pendirian untuk pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh jawatan Jemaah Menteri yang telah berkuat kuasa pada 16 Ogos, 2021. Seri Paduka Baginda turut menzahirkan titah akan tujuan utama sesi menghadap ini adalah untuk menyatakan bahawa: •Sesiapapun juga yang dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. • Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19. • Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. . Majoriti 'frontliners' berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit COVID-19 baharu setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan. Perancangan bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik COVID-19, termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok dan program pemulihan negara perlu dikekalkan. Seri Paduka Baginda selanjutnya bertitah supaya semua 220 ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada Baginda surat akuan (statutory declaration) yang menyatakan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu. Kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4.00 petang. Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Dalam hal ini, Baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempumakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat). Seri Paduka Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus Kerajaan ketika kita masih diancam pandemik COVID-19. Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini. Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera. Sebelum mengakhiri sesi menghadap semalam, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan. Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua. Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan agar Ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain akan turut diatur bagi sesi-sesi menghadap daripada semasa ke semasa. Dato' Indera Ahmad Fadil Shamsuddin Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara


Comments


bottom of page