• Wartawan Nabalu News

MESYUARAT KHAS PARLIMEN 26 JULAI, MESYUARAT PERTAMA BERMULA 6 SEPT INI



15 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Parlimen akan diadakan selama lima hari bermula 26 Julai dan Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 akan diadakan selama 15 hari bermula 6 September ini.


Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md.Yasin pada hari ini bahawa satu Mesyuarat Khas telah ditetapkan mengikut Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.


"Bagi tujuan itu, saya juga telah dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan untuk Perdana Menteri mengadakan mesyuarat tersebut walaupun Proklamasi Darurat bertarikh 11 Jan 2021 masih berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Sehubungan itu Azhar berkata, Setiausaha Dewan Rakyat Dr.Nizam Mydin Bacha Mydin akan mengeluarkan pemberitahuan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat tersebut kepada semua ahli Dewan Rakyat hari ini untuk memaklumkan Dewan Rakyat akan bersidang selama lima hari pada Isnin 26 Julai 2021 hingga 29 Julai dan 2 Ogos mulai jam 10 pagi.


Beliau mengingatkan semua Yang Berhormat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaan Persidangan Parlimen yang telah ditetapkan dengan mengambil kira pandangan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang masa.


Sementara itu, beliau turut memaklumkan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan bermula pada 6 September hingga 30 September.


Manakala mesyuarat kedua pula bermula pada 25 Oktober hingga 16 Disember 2021 iaitu selama 32 hari.


Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 akan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 6 September 2021, jam 10 pagi, di Bangunan Parlimen Malaysia.