MetMalaysia komited tingkatkan kesedaran perubahan iklim kepada orang ramai
top of page
  • Wartawan Nabalu News

MetMalaysia komited tingkatkan kesedaran perubahan iklim kepada orang ramai


24 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berusaha meningkatkan tahap kesedaran awam mengenai implikasi perubahan iklim di negara ini.


Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia Lim Ze Hui, jabatan itu akan terus berhubung dengan masyarakat untuk memastikan mereka mendapat maklumat terkini tentang perkembangan cuaca dan kesannya.


“Usaha ini dilaksanakan melalui sistem penyiaran untuk memberitahu orang ramai tentang situasi cuaca semasa, supaya mereka dapat menyediakan diri dan mengambil langkah pencegahan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjadi jemputan dalam program Malaysia Petang Ini yang membincangkan topik Masa Depan Cuaca, Iklim dan Air Merentasi Generasi anjuran BernamaTV pada Khamis.


Lim turut menyatakan bahawa MetMalaysia sentiasa menyesuaikan penggunaan teknologi moden yang setanding dengan negara-negara maju dan memperbaiki sistem pengamatan untuk membolehkan pengesanan awal cuaca.


Beliau juga menjelaskan tema Hari Meteorologi Sedunia 2023 yang disambut hari ini iaitu “Masa Depan Cuaca, Iklim dan Air Merentasi Generasi” yang menekankan pentingnya menjaga iklim demi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan generasi masa depan.


“Apabila kita bercakap tentang generasi, kita juga bercakap tentang konsep ‘manusia sejagat’ dan warisan yang kita tinggalkan kepada generasi seterusnya,” katanya.

bottom of page