MILIKI PISAU CUKUR TIRUAN, WANITA DIDENDA RM5,000
- Wartawan Nabalu News
- Jan 13, 2021
- 2 min read

13 Jan 2021
Oleh Eviana Mazinal
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau jika gagal membayar denda, tiga bulan penjara terhadap seorang ibu tunggal kerana memiliki 159 unit pisau cukur tiruan.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita berusia 63 tahun itu selepas tertuduh mengaku memiliki pisau cukur palsu berjenama Gillette Nacet II, perihal cap dagangan yang didaftarkan dengan salah.
Dia melakukan kesalahan itu di premis Asas Sinar Enterprise, Taman Indah Permai, Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu pada 18 September tahun lalu jam lebih kurang 3.45 petang.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 100, merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019, Akta 815, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta sama.
Jika bukan suatu pertubuhan perbadanan, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan dipakai dengan salah cap dagangan berdaftar atau maksimum penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan, manakala RM20,000 bagi setiap barangan atau maksimum lima tahun penjara jika sabit kesalahan kali kedua.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Chen Wen Jye dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon agar anak guamnya diberikan hukuman ringan atas alasan tertuduh tidak menyedari bahawa pisau cukur berkenaan adalah palsu sehinggalah pihak berkuasa datang melakukan pemeriksaan.
Jelasnya tertuduh sehingga kini ada menyimpan resit pembelian pisau cukur berkenaan.
Menurut Chen, anak guamnya berasal dari Sarawak dan menetap di Sabah sejak 20 tahun lalu, suaminya meninggal dunia dan dia tinggal bersama anak lelakinya.
Premis milik wanita itu pula sudah beroperasi sejak tahun 1999 dengan pendapatan kasar sebanyak RM2,500 sebulan.
Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh benar-benar menyesali atas kesalahannya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) menegaskan agar hukuman setimpal diberikan terhadap wanita itu kerana tindakannya menjual barang palsu tersebut merupakan satu penipuan terhadap pembeli dan memberi kesan terhadap jenama tulen asal milik syarikat Gillette.
Mahkamah mengarahkan agar barangan kes itu dilupuskan oleh pihak pendakwaan.















Comments